Saringan Covid-19: Tindakan undang-undang jika majikan ingkar

Saringan Covid-19: Tindakan undang-undang jika majikan ingkar

Kuala Lumpur: Tindakan undang-undang dan penalti akan dikenakan terhadap majikan yang gagal menghantar pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19 berkuat kuasa 1 Januari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, majikan dikehendaki berbuat demikian seiring dengan arahan kerajaan yang mewajibkan pekerja warga asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan, komersial untuk menjalani ujian saringan Covid-19 berkuat kuasa 1 Disember lalu dengan kos ujian saringan perlu ditanggung majikan.

“Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan seramai 49,248 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 1,990 majikan.

“Bagaimanapun, KSM memaklumkan masih terdapat ramai majikan yang enggan memberi kerjasama untuk mematuhi arahan ini.

“Justeru, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam bersetuju untuk mewajibkan semua majikan berbuat demikian dan jika gagal, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang, sama ada kompaun atau dihadapkan ke mahkamah, terserah kepada kementerian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, majikan diwajibkan menanggung kos rawatan dan kuarantin pekerja asing yang dipindahkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Kalau sakit biasa boleh bayar, maka mereka perlu bayar (tanggung) kos untuk kes Covid- 19 dan diminta majikan patuh arahan kerajaan.

“Kegagalan menghantar saringan menyebabkan mereka rugi besar kerana beberapa syarikat dan kilang sudah ditutup jadi saya seru secara suka rela eloklah hantar pekerja mereka,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan ketika ini sedang mempergiatkan pemeriksaan terhadap kediaman pekerja warga asing mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Menurut beliau, sehingga kini , sebanyak 12 syarikat dan 27 pertuduhan dikenakan ke atas majikan yang ingkar menyediakan penempatan bersesuaian buat pekerja mereka.

“Kita lihat ada gambar di media sosial menunjukkan penempatan pekerja yang tidak sesuai.

“Justeru, kerajaan akan bertindak tegas terhadap majikan yang gagal menyediakan sediakan tempat tinggal kondusif buat pekerja mereka,” katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *